October 20, 2020

“Kerana Tugas”


Selepas kejatuhan The National Socialist German Workers’ Party (NAZI), ramai pegawai-pegawai parti yang terlibat dengan The Final Solution to the Jewish Question (Holocaust) telah ditangkap, dibicarakan dan dihukum.

Salah seorang pegawai tersebut ialah, warga Jerman-Austria, Otto Adolf Eichmann. Eichmann bekerja sebagai pegawai Schutzstaffel (SS). SS, adalah sebuah organisasi paramilitari yang eksklusif dibawah Hitler. Bukan saja-saja je kau boleh masuk. Eichmann didapati bersalah dan kemudiannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1962.

Apa yang menariknya tentang Eichmann?

Adolf Eichman.
Sumber Gambar: wikipedia

Dalam hidup, Eichmann berpegang teguh kepada filsuf agung Jerman, Immanuel Kant. Dalam dunia intelektual, Kant bukanlah seorang anti-Semitik, malah Kant ialah salah seorang pemikir agung yang membawa idea Enlightenment atau Pencerahan. Diktum paling popular Kant adalah, “Das ding an sich” atau “The thing in itself” sebuah konsep metafizik yang kompleks dalam memahami sesuatu.

Perbahasan Kant turut menyentuh tentang moral. Namun Eichmann menanggapi idea Kant dengan cara lain, baginya, sosok pembuat undang-undang (legislator) adalah moral itu sendiri.

Jerman, pada ketika itu ditadbir dan diperintah oleh Hitler. Hitler bergelar sebagai Mein Fuehrer. Pemimpinku. Sebagai seorang pegawai yang taat, Eichmann melihat moral terkandung dalam sosok Hitler sendiri.

Menariknya, ketika perbicaraan Eichmann berlangsung, motifnya agak unik. Berbeza dengan idea-idea anti-Semitik (anti-Yahudi) yang didokong oleh kebanyakan ahli-ahli parti yang lain; Eichmann sebaliknya tidak mempunyai sikap sedemikian. Malah, Eichmann secara peribadi langsung tidak terdorong untuk membenci kaum Yahudi.

Jadi, apa yang mendorong Eichmann untuk turut bersekongkol dalam Final Solution?

Bagi Eichmann, penglibatannya adalah “kerana tugas”. Baginya, setiap pekerjaan yang beliau lakukan dalam parti adalah tugas-tugas normal sebagai seorang pekerja yang taat.

Perbicaraan ini diikuti rapat oleh salah seorang ahli teori politik, Hannah Arendt. Arendt kemudiannya merakamkan laporan perbicaraan Eichmann dalam bukunya: Eichmann in Jerusalem: A Report on The Banality of Evil (1963).

Sumber Gambar: britannica.com

Apa yang disimpulkan oleh Arendt berkenaan kes Eichmann dan kemudiannya menjadi ungkapan popular adalah “Banality of Evil” – Kebiasaan daripada Kejahatan.

Sifirnya mudah bagi Eichmann, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dan kejahatan. Dia hanya menjalankan tugas.


Sumber gambar utama: jpost.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *