July 17, 2020

Lelaki Penghantar CintaPenulis: Baharuddin Bekri

Tajuk Buku:
Lelaki Penghantar Cinta

Penulis:
Baharuddin Bekri

Penerbit:
DY KREATIF NETWORK

Ini adalah reviu buku yang paling susah untuk saya tulis kerana buku ini berbeza daripada buku-buku yang pernah saya baca selama ini. Jika tidak dikuatkan hati untuk meneruskan pembacaan pada bab terawal buku ini, pasti buku ini sudah saya sedekahkan kepada oramg lain. Ketika membaca buku ini, saya terpaksa memberhentikan pembacaan sebanyak tiga kali. Tak dapat saya gambarkan betapa bosannya karakter Rayyan. Malahan tiada langsung elemen ‘hook’ yang membolehkan saya setia membacanya.

Nyata tindakan saya meneruskan pembacan itu berbaloi. Jujurnya apabila membaca tajuk buku ini, saya mengandaikan mengenai kisah cinta diantara dua orang merpati sejoli. Membaca komentar di belakang naskah ini pun penulis lain mencoretkan mengenai kisah cinta. Sebenarnya andaian itu tidak begitu baik bagi saya, kerana saya tidak menggemari kisah cinta sebegini.

Namun sebenarnya buku ini telah mengangkat tema yang lebih besar daripada itu. Ada tiga tema yang berat terkandung dalam buku ini. Bagi saya kisah cinta Rayyan dan Amanda, juga membabitkan Zatul hanyalah permukaan atas sahaja. Watak mereka dicipta hanya untuk mendukung penyampaian dakwah dan perbincangan ilmiah yang sangat mengagumkan.

Dalam buku ini penulis mendalami sifat kedua-dua watak lelaki dan wanita dengan sangat baik dan berkesan. Oleh kerana penulis ini lelaki, secara tidak langsung saya mempelajari perbezaan sifat seorang lelaki dan wanita dari segi pemikiran dan perasaan terhadap cinta, keluarga dan tanggungjawab.

Namun begitu penulis juga dapat menulis sifat, karakter dan perasaan seorang wanita dengan baik dan mengagumkan. Penulis bukan sahaja dapat menggambarkan sifat wanita yang sukar difahami ini dengan sangat mendalam melalui watak Amanda, bahkan beliau juga telah berjaya memberikan jalan penyelesaian yang sangat logik bagi lelaki untuk memujuk atau menagani masalah sifat perempuan yang kompleks dan unik ini. Buku ini juga sangat bagus untuk dibaca oleh lelaki yang ingin memahami diri wanita.

Penerangan mengenai perkara-perkara asas dalam Islam telah diterangkan dengan baik oleh Rayyan. Selepas memeluk Islam, Amanda iaitu bekas penganut Atheis telah bertanya banyak soalan kepada Rayyan. Sekalipun Rayyan menggambarkan dirinya hanya penganut agama yang biasa, bukan seorang alim atau Ustaz, dia telah berjaya menjawab segala pertanyaan pelik Amanda dengan mantap dan kukuh.

Saya sukakan sikap Rayyan yang berdoa dahulu kepada Allah agar diberikan ilham dan dapat memberikan penerangan yang baik untuk menjawab persoalan-persoalan pelik daripada Amanda. Persoalannya agak mencabar. Bahkan saya fikir persoalan ini juga banyak berlegar dalam kotak fikir orang bukan Islam yang lain. Mungkin juga persoalan ini ada timbul dalam benak kepala kita sebagai orang Islam.

Sebagai contoh, Rayyan telah menerangkan kepada Amanda mengenai Rukun Iman yang pertama, iaitu percaya kepada Allah. Selepas penerangan dibuat, soalan Amanda berbunyi begini,

“Kalau semua kehendak Allah, kenapa ramai orang sengsara di dunia ini?”

Bahkan ketika ingin menyelamatkan Zuraidah daripada membunuh diri, Amanda bertanya lagi kepada Rayyan.

“Zuraidah itu orang Islam. Tengku Kish juga orang Islam. You semua percaya kepada Tuhan. Berharap dan berdoa kepada Allah. Kalau ikutkan apa you cakap tentang Islam, semua masalah ada penyelesaian, kenapa mereka masih nak bunuh diri?”

Banyak lagi persoalan yang mencabar daripada Amanda. Namun begitu, Rayyan bijak sekali menjawab dan memberi pemahaman yang jelas daripada sudut agama. Sekalipun tidak disertakan dengan hujah dengan hadis atau ayat Al-Quran, dakwahnya sampai dalam bentuk yang logik dan tidak boleh disangkal lagi oleh Amanda.

Tema yang besar dalam buku ini dalah mengenai kemurungan. Amanda, Tengku Kish, Zuraidah, Eric, James Ravi dan Shandy adalah penghidap kemurungan yang ingin membunuh diri. Mereka berada dalam satu kumpulan whatsapp yang diberi nama SUICIDE.MY.

Sepatutnya Amanda dahulu yang akan membunuh diri. Namun setelah diselamatkan oleh Rayyan dengan cara yang tidak sengaja, mereka berusaha ingin menyelamatkan 5 orang yang lain daripada melakukannya. Setiap daripada mereka mempunyai pelbagai sebab yang berlainan. Dalam buku ini saya bagaikan berada dalam diri Amanda dan Zuraidah. Perasaan itu sangat dekat dan mendalam dalam jiwa.

Buku ini menjelaskan dengan sangat baik sifat, keadaan dan sebab melalui setiap kisah 5 orang penghidap kemurungan ini. Keadaan ini telah memberikan gambaran yang jelas kepada orang biasa untuk memahami lebih baik mengenai penyakit kemurungan dan penghidapnya. Jujurnya saya sangat kagum dengan sifat bersungguh-sungguh Rayyan, Amanda dan Tengku Kish dalam memujuk penghidap kemurungan ini daripada membunuh diri. Alasannya logik, tidak memaksa, cuba memahami dan bijak bermain dengan emosi. Namun semua kisah mereka diolah dengan sangat menarik. Bahkan ada yang sangat menyentuh perasaan.

Tema terakhir adalah mengenai prinsip dan cinta. Tema ini banyak diceritakan melalui perbualan antara Mahmud dan Rayyan. Mahmud adalah rakan Rayyan yang suka membaca buku. Tajuk bukunya pelik-pelik. Tajuknya adalah ‘Melayu Hilang di Dunia,’ ‘Katakan-Katakan Kau Cinta Padaku,’ ‘Jika Miskin Jangan Jadi Kaya.’ dan ‘Filem Pengganti Agama.’ Saya mengagumi Mahmud yang dapat memberi ulasan buku yang baik kepada Rayyan menerusi pelbagai soalan yang dilontarkan. Secara tidak langsung berlaku perbincangan ilmiah yang santai antara mereka berdua.

Saya juga sukakan layanan Rayyan dan Amanda terhadap Tengku Kish. Tengku Kish adalah seorang pondan. Namun mereka melayan Tengku Kish dengan baik dan berusaha mengajak dia berubah. Cara Rayyan tidak memaksa dan mengutuk. Tetapi sedaya upaya dia mencari peluang untuk menasihati Tengku Kish.  Banyak juga alasan yang diberikan oleh Tengku Kish yang berjaya dijawab dengan baik oleh Rayyan seterusnya membetulkan pemahaman yang salah dalam dirinya. Namun saya teringat satu kata-kata Tengku Kish yang menyedarkan diri. Kata dia, ejekan, kata-kata yang menyakitkan, maki hamun orang-orang agama dan sekeliling membuatkan dirinya menjadi semakin jauh dengan Tuhan. Syukur Rayyan berdakwah kepada dia dengan cara yang sangat indah tanpa perlu menyakiti dengan perkataan-perkataan yang kasar. Akhirnya, Tengku Kish berubah dan pulang ke kampung untuk menjaga kedua-dua ibu bapanya.

Dalam buku ini ada juga terselit kisah-kisah yang lucu dalam penceritaan. Terkekeh-kekeh saya membacanya. Buku ini telah diadun dengan begitu baik sekali antara tema yang berat dan remeh. Sekalipun tema yang dibawakan berat, tetapi penulis berjaya menulisnya dalam bentuk santai, menarik dan tidak membebankan otak pembaca.

Saya berikan 10/10 bintang untuk buku ini. Berbaloi membacanya. Sungguh!

Email : paefaizahs18@gmail.com

FB : Faizah Ahmad


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *