July 5, 2020

Lima Kemahiran yang Perlu Dikuasai Staf Penerbitan untuk Dekad 2020-2030


Lewat kebelakangan ini, industri penerbitan di Malaysia berperang dengan pelbagai cabaran getir. Banyak syarikat penerbitan yang terpaksa gulung tikar. Sementara dalam kalangan penerbit yang bertahan, banyak yang mengecilkan operasi kerana jualan yang merudum. Ramai yang hilang pekerjaan.

Antara faktor yang mendorong kepada kemelesetan industri penerbitan adalah kegawatan ekonomi, trend pembacaan yang tidak menentu, keterlambakan gajet dan aplikasi yang “merampas” pembaca, gejala cetak rompak dan yang terkini, wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan melumpuhkan pergerakan.

Sepuluh tahun yang mendatang akan menjadi dekad yang getir untuk dunia penerbitan. Kemahiran-kemahiran hakiki penerbitan seperti pembinaan dan perolehan judul, pengenalpastian pengarang, penyuntingan, pembacaan pruf, atur letak dan rekaan grafik, meskipun penting, tetapi tidak lagi cukup untuk memastikan industri perbukuan dan penerbitan kompetitif serta mampu bersaing dengan bidang-bidang lain.

Bagaimana industri penerbitan di Malaysia boleh bangkit semula, kekal relevan dan memberi kesinambungan manfaat kepada masyarakat dan negara?

Berikut adalah lima kemahiran yang perlu ada pada generasi staf penerbitan dekad 2020-2030.

Foto oleh Marvin Meyer di Unsplash

Jaringan dan Kolaborasi

Warga penerbitan perlu berinisiatif mengukuhkan jaringan dan sentiasa mengintai peluang kolaborasi. Jaringan yang dijalin tidak semestinya sesama entiti penerbitan, tetapi melangkaui rentas bidang seperti pencipta kandungan (terutamanya media baharu), pembangun teknologi, pengurusan acara, perundangan dan banyak lagi. Tanggungjawab ini tidak seharusnya digalaskan kepada mereka yang berada di bahagian jualan, promosi dan pemasaran semata-mata kerana hal yang berterusan begini hanya akan menatijahkan kehancuran.

Staf penerbitan perlu didedahkan dengan kemahiran komunikasi dan rundingan, untuk menterjemahkan visi kepada realiti dan kelangsungan operasi. Jaringan dan kolaborasi sedia ada juga boleh diterokai dengan lebih meluas agar dapat menghasilkan produk yang lebih bermutu dan relevan dengan perkembangan masa.

Kreativiti

Kreativiti tidak semestinya merujuk kepada kebolehan menghasilkan visual atau bahan kesenian. Kreativiti asas berpaksi kepada cara pendekatan dan pemikiran. Mereka yang kreatif sentiasa berfikir dari luar kotak dan akan cuba mendalami benda-benda baharu dan bagaimana elemen-elemen ini boleh memanfaatkan cara dan sistem yang ada. Orang yang kreatif sentiasa mencabar kebiasaan, banyak bertanya, dan kadang-kadang menyuarakan pandangan yang dilihat sebagai ancaman kepada status quo.

Kita kagum dengan revolusi teknologi yang terhasil sepanjang peradaban moden ini. Tapi ramai yang tidak tahu banyak daripada penghasilan ini tercetus daripada satu faktor – kreativiti. Kreativiti adalah pemangkin teknologi. Teknologi tidak berdiri dengan sendirinya. Steve Jobs pernah menyatakan bahawa revolusi produk atau servis berlaku di persimpangan antara teknologi dan kreativiti. Mungkin kita boleh luangkan sedikit masa untuk mendalami sejarah terhasilnya syarikat Apple, dan produk-produk laku keras seperti iPod, iPhone, iMac dan lain-lain.

Adaptasi Teknologi

Ledakan teknologi maklumat dan Internet menyebabkan dunia pada hari ini telah berubah dengan pantas. Pelbagai aspek dalam gaya hidup seseorang telah berubah seperti kaedah pembacaan, pembelian, pembayaran, pembelajaran dan sebagainya. Industri penerbitan juga tidak terlepas dengan kesan ledakan teknologi ini.

Adaptasi teknologi ini adalah penting untuk menarik minat membaca kerana trend masyarakat berubah seiring dengan perkembangan teknologi. Begitu juga dengan trend pembacaan. Masyarakat kini terutamanya Generasi Z banyak meluangkan masa membaca atas skrin berbanding kertas. Oleh sebab itulah, sudah ada saranan untuk mengukur tahap pembacaan suatu masyarakat berdasarkan jumlah masa pembacaan berbanding bilangan buku yang dibaca.

Bahan ilmu tidak boleh lagi dihadkan kepada penerbitan bercetak. Teknologi-teknologi seperti penerbitan digital, kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR), audio serta pelbagai bentuk infotainment membuka ruang kepada pengayaan tanpa had bahan bacaan dan penerbitan. Begitu juga dengan atur cara kerja penerbitan. Revolusi digital memerlukan penerbit merombak atur cara kerja lama yang semakin ditelan zaman.

Bekerja dari Rumah

Bekerja dari rumah adalah kebiasaan baharu hari ini. Rentetan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam musim wabak Covid-19, kita mula menyedari bahawa banyak tugas boleh disempurnakan tanpa staf perlu berada di tempat kerja. Memang diakui proses asimilasi kepada kebiasaan baharu ini memakan masa, tetapi inilah peluang dan peluang terbaik warga penerbitan untuk mengadaptasikan kaedah kerja baharu.

Seseorang staf penerbitan boleh menjadi lebih produktif bekerja dari rumah (atau di mana sahaja), jika dua syarat utama dipenuhi. Pertama, sikap staf tersebut. Kedua, adanya prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan teratur. Syarat pertama merujuk kepada sifat kebertanggungjawaban staf itu sendiri. Manakala syarat kedua merujuk kepada tatacara kerja dan hal-hal teknikal. Fokus perlu pada hasil atau output kerja, dan bukan pada keberadaan individu.

Tambahan lagi, perkembangan teknologi menyediakan pelbagai peranti, aplikasi, perisian dan platform bagi memudahkan staf bekerja di mana sahaja, mengikut keselesaan pekerja. Bagi staf yang tinggal jauh dari pejabat, pendekatan ini dapat menjimatkan masa. Maka, tenaga dan masa mereka dapat digunakan sepenuhnya untuk bekerja dengan lebih produktif. Di samping itu, pendekatan ini dapat memberi penjimatan kepada syarikat penerbitan kerana pengurangan penggunaan tenaga elektrik, air dan Internet di pejabat.

Foto oleh Christin Hume di Unsplash

Minat Membaca

Membaca merupakan kemahiran yang paling asas yang perlu ada pada warga penerbitan. Orang yang mencintai ilmu gemar membaca. Malah, membaca adalah tabiat asas untuk kemajuan dalam semua aspek pekerjaan dan kehidupan. Dalam Islam, ayat al-Quran pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad bermula dengan perkataan “bacalah.”

Realitinya, ramai staf penerbitan tidak minat membaca. Sedih tetapi benar. Ini adalah hakikat sebenar yang berlaku di Malaysia kini. Ramai staf penerbitan terperangkap dengan dogma kepatuhan kepada proses kerja, penghasilan penerbitan dan penjualan. Ada yang membaca dan menyunting manuskrip tanpa “roh.”

Minda akan terbuka jika seseorang banyak membaca, tidak kiralah bentuk dan genre pembacaan sama ada fiksyen, bukan fiksyen, majalah, buku keagamaan dan lain-lain. Pembacaan akan membantu memperkaya perbendaharaan kata, memberi idea baharu serta mendorong pembaca melihat situasi dari perspektif yang berbeza-beza. Warga penerbitan yang suka membaca juga akan sentiasa berada dekat dengan golongan pembaca di luar bidang penerbitan.

Kesimpulannya, staf penerbitan perlu menguasai kemahiran-kemahiran baharu bukan sahaja untuk menjadikan industri kekal relevan, tetapi satu industri yang peka dan sentiasa berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa. Sekarang kita melihat seolah-olah industri penerbitan menjadi mangsa dan dipermangsakan dek perubahan zaman yang mencengkam dan mengancam tradisi lama penerbitan. Hakikatnya, banyak kemahiran, budaya dan cara kerja kita sudah kurang relevan untuk kelangsungan masa hadapan. Untuk bangkit, paradigma ini perlu diubah.


Penulis, Zulkifli Musa dan Mohd Zaidi Abdullah, adalah Pegawai Penerbitan di Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM). Kandungan penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata.

Sumber gambar utama: oleh François DALLAY di Unsplash

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *