July 17, 2020

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad meninggal dunia

BANGI: Sasterawan Negara (SN), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Shahnon Ahmad dilaporkan meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, pada jam 8.00 pagi hari ini akibat radang paru-paru.

Novelis Ranjau Sepanjang Jalan dan Shit itu meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh bin Rahamad di laman Facebook beliau memaklumkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3, Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur pada hari ini.

Allahyarham Shahnon Ahmad merupakan Sasterawan Negara kedua tanah air yang menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1982. Allayarham juga pernah menduduki kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan Parlimen Sik pada tahun 1999 hingga 2004.