July 5, 2020

Trauma Anda Bukan Salah Anda, Namun Penyembuhan Diri Tetap Menjadi Tanggungjawab Anda

oleh  Brianna Wiest (April 13, 2020)
diterjemahan oleh Rusnajaa Mohd Yusoff


Perkara yang terjadi itu bukan salah anda. Ia bukan dipinta, apatah lagi diterima. Sudah tentu ia tidak adil.

Anda ibarat seekor kancil yang tersepit di antara dua ekor gajah yang sedang berlaga. Sudah tentu akan terima tempiasnya.

Kita semua membawa parut trauma dalam menjalani kehidupan; ada yang disebabkan oleh kesalahan orang lain, ada yang disebabkan oleh luka yang sukar untuk diproses dan emosi yang tak diendahkan. Tak kira pun apa puncanya, kita semua dipaksa untuk bermain permainan yang bernama ‘kehidupan’, dan tidak semestinya kita akan menang di akhirnya.

Namun begitu, tanggungjawab untuk sembuh akan sentiasa jatuh pada bahu masing-masing, walaupun trauma tersebut bukan salah anda — maka anda boleh memandang ia sebagai satu hikmah, ataupun beban. Pilihan di tangan anda.

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda. Jika tidak, ketidakadilan tersebut akan mengambil alih hidup anda. Adakah anda mahu teruskan hidup dalam keadaan sebegitu?

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda, kerana kesakitan emosi yang sedang ditanggung itu akan berpindah dan merebak kepada orang lain di sekeliling. Adakah anda mahu orang-orang tersayang menggalas beban yang sama?

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda kerana hidup ini hanya satu, dan merupakan satu-satunya peluang untuk melakukan apa yang penting buat diri anda.

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda. Jika anda menunggu orang lain untuk datang dan mengubah haluan hidup anda, itu sebenarnya perkara yang sia-sia. Ia hanya akan menjadikan anda seorang yang telalu bergantung kepada orang lain dan kecewa tanpa kesudahan.

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda. Sebenarnya anda ada kuasa untuk sembuhkan diri sendiri, walaupun pernah ditanam kepercayaan palsu mengenai sebaliknya.

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda, kerana ia merupakan sesuatu yang tidak mudah dan sangat tidak selesa. Perasaan ini menandakan bahawa anda ditakdirkan untuk bangkit dan mengubah haluan hidup anda.

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab anda. Setiap insan yang anda kagumi sekarang, pada suatu ketika dahulu keadaan juga tidak menyebelahi mereka, dan mereka mempelajari bahawa kekuatan dalaman tidak semestinya mampu untuk menandingi keberatan ujian yang ditawarkan oleh dunia ini.

Menyembuhkan diri adalah tanggungjawab and, kerana “penyembuhan” itu bermaksud tidak kembali kepada diri dan keadaan anda yang terdahulu. Ia sebenarnya untuk membentuk diri anda menjadi orang yang baharu — lebih kuat, lebih bijaksana, dengan hati yang lebih bersih.

Apabila kita semakin sembuh, kita sedang berubah menjadi orang yang kita sentiasa mahukan. Bukan sahaja kita mampu untuk menghadam kesakitan, malah kita juga sedang memberikan kesan positif dalam kehidupan kita, kepada ahli keluarga dan ahli-ahli komuniti sekeliling juga. Kita akan berupaya untuk mengejar mimpi dengan lebih bebas. Kita akan punyai kekuatan untuk menangani kesukaran yang dilontarkan terhadap kita, kerana kita ada kecekapan dan keyakinan. Kita akan menjadi lebih berani untuk mengambil risiko dan berimpian lebih besar, yang sebelum ini kita takut-takut untuk buat.

Apabila orang lain membuat salah terhadap kita dan meninggalkan kesan, kita seringkali duduk dan tunggu untuk mereka memulihkan ia kembali kepada keadaan asal.

Kita sebenarnya gagal untuk menyedari bahawa kesakitan akibat kesan tersebut merupakan satu pengajaran dalam hidup kita, sebuah asas yang subur untuk mula membina sesuatu yang kita betul-betul mahukan.

Hidup ini bukan untuk dilalui dengan senang tanpa onak dan duri.

Manusia tidak dicipta untuk mengharungi kehidupan ini sehingga garisan penamat dalam keadaan tanpa calar, bersih dan membosankan.

Kehidupan ini akan menyakitkan kita dengan pelbagai cara, tetapi bagaimana kita bertindakbalas — dan samada kita menjadi seorang manusia yang baik — yang menentukan jika trauma tersebut menjadi tragedi, ataupun sebuah cerita dimana mangsa menjadi hero di akhirnya.


Artikel asal boleh dibaca di sini: https://thoughtcatalog.com/brianna-wiest/2019/10/trauma-is-not-your-fault-but-healing-is-your-responsibility/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *