October 23, 2020

Novel dan Cerpen Komsas Ini Menarik Dijadikan Filem Dan Drama

Komsas ialah perkataan singkatan bagi ‘komponen sastera’ di mana ia menjadi sebahagian dalam subjek Bahasa Melayu untuk semua pelajar sekolah menengah (dari Tingkatan 1 hingga 5).

Baru-baru ini ada sebilangan komuniti media sosial menyebut-nyebut tajuk-tajuk cerpen dan novel yang sesuai dijadikan drama dan filem kerana sudah muak dengan jalan cerita yang sama di kaca televisyen dan panggung: benci dan cinta antara 2 watak utama, kahwin berbeza darjat dan bisnes juta-juta.

Berikut ialah sinopsis cerpen dan novel yang mereka mahu ia diangkat ke medium tayangan filem dan drama:

  1. Tirani

Novel Tirani ditulis oleh Beb Sabariah atau nama sebenarnya Bibi Sabariah Hj Abang Awet. Beliau merupakan anak kelahiran Sarawak telah mengetengahkan suasana di Sarawak di dalam novelnya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini.

Novel ini digunakan oleh pelajar Tingkatan 5 di zon 2 dari tahun 2016 hingga 2020 – menarik dijadikan drama kerana ia menyentuh budaya dan adat resam masyarakat Sarawak. Malah turut menggunakan frasa daerah dan istilah saintifik yang sesuai dengan babak-babak dalam Tirani.

Sinopsis Tirani ini dipetik dari blog Sistem Guru Online:

TIRANI mengisahkan tentang  seorang gadis yang bernama Waheeda mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Waheeda juga ingin mencapai kemajuan atas nama dirinya dalam bidang pelancongan sehingga suaminya, Zahid mengatakan bahawa Waheeda telah mengabaikan batas-batas pergaulan sebagai isteri.

Bagi menjadi cantik Waheeda yang kebetulan hidungnya digigit monyet melakukan pembedahan rekonstruksi atau pembinaan semula wajahnya dengan memasang hidung palsu menjadikannya hidungnya mancung dan cantik.

Dengan kejayaannya menjadi cantik datang jugalah kejayaannya dalam bidang kerjaya. Bidang pelancongan yang diterokainya telah mempertemukannya dengan suaminya, Zahid, anak rakan niaganya di Sarawak iaitu Datuk Yasser.

Kecantikan dan kejayaan dalam kerjaya yang dicapai oleh Waheeda tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga. Sebenarnya tidak menjadi kenyataan  kerana apa yang diperolehnya itu yang merosakkan kehidupannya.

Kecantikannya itu menyebabkan tugasnya bertambah berat dan harapan orang terhadapnya melambung tinggi sehingga Waheeda tidak larat memikulnya.

Dalam novel TIRANI cinta Waheeda terhadap suaminya begitu mendalam sehingga jatuh sakit jiwa setelah diceraikan oleh suaminya. Penceraian itu berpunca daripada wajah anaknya yang tidak ada mewarisi kecantikan dirinya dan ditambah dengan rasa cemburu oleh Zahid. 

Akhirnya Waheeda  bertekad untuk berjaya dan berdikari dalam bidang pelancongan dengan menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. Kemajuan chalet yang diusahakan oleh Waheeda dan anaknya Izzati telah menarik kehadiran ramai pelancong termasuklah Zahid.

Akhir mereka dipertemukan di chalet itu. Namun, di sudut hati Waheeda dan Zahid terserlah satu falsafah hidup bahawa kecantikan seseorang hanyalah satu TIRANI.

2. Wira Persona Avatari

Sesuai dengan penulisnya yang berlatarbelakangkan profesor kejuruteraan elektronik komputer, novel Wira Persona Avatari ini menggunakan banyak istilah komputer dan internet. Ia digunakan oleh pelajar Tingkatan 2 untuk Komsas Bahasa Melayu.

Profesor Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar bukan sahaja cermelang dalam bidang akademik dan kejuruteraan, beliau turut aktif dalam bidang penulisan kreatif dan bahasa di mana beliau pernah menang anugerah novel remaja dan puisi Cyberfriendship (2001) pernah tersenarai antara 33 puisi siber terbaik dunia.

Sesungguhnya memang menarik jika Wira Persona Avatari diangkat menjadi drama kerana ia melibatkan teknologi komputer dan avatar. Rasanya dah lama tiada kandungan sebegini di Malaysia. Ia dapat menggalakkan minat kanak-kanak dan remaja tentang teknologi.

Sinopsis Wira Persona Avatari dari blog Cikgu Azhar Rodzi:

Novel Wira Persona Avatari ialah kisah sekumpulan remaja yang memasuki pertandingan avatar peringkat dunia kali ke-10. Kisah bermula dengan Aina yang terlantar koma di hospital setelah terkena tembakan Ah Kong yang menceroboh ruang komputer pertandingan ketika waktu rehat.

Setelah itu novel berputar kembali kepada peristiwa sebelumnya, iaitu secara imbas kembali. Di sekolah, Aina teruja dengan berita pertandingan avatar yang dibawa oleh Zuraini. Dia kemudian mengajak abangnya, Anas menyertai pertandingan. Kumpulan mereka, Zamrud II turut disertai Pauline dan Adeen.

Apabila Kumar menarik diri, Anas memilih Anjali, berdasarkan kehebatannya dalam permainan perang robot. Sebagai persediaan, mereka turut berlatih kekuatan fizikal dengan Cikgu Nisah.

Kemenangan mereka dalam pusingan pertama hampir dirampas oleh pasukan Aura Suci yang menggunakan taktik kotor. Dalam pusingan kedua cip penting kawalan komputer telah hilang tiba-tiba. 

3. Kasut Kelopak Jantung

Kisah ini menyentuh hati pembaca kerana ia menyentuh kehidupan seorang pelajar miskin di kawasan pedalaman apabila terpaksa berdepan dengan seorang guru yang tegas. Sebagai pelajar yang miskin dan serba kekurangan menyebabkan dia bakal tercicir dari alam persekolahan kerana malu dengan keadaan dirinya.

Ada juga filem pendek di Youtube AS Zeing bertajuk ‘Filem Pendek Kasut Kelopak Jantung‘.

Sinopsis dipetik dari blog Mubin-Info:

Cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu sewakta beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman.

Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah walaupun sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula.

Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun kerana tidak membawa pakaian sukan. Oleh sebab itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”.

Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah demi keselamatan kakinya.

Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah supaya kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.

Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain.

Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar dengan gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka.

Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.

4. Songket Berbenang Emas

Jika orang putih ada filem ‘A Homeless To Harvard’, cerita dari novel ini boleh menghasilkan satu kisah inspirasi buat masyarakat kita dalam bentuk filem. Malah, ia akan menyedarkan kita bahawa ramai lagi seperti watak utama ini di alam realiti.

Novel Songket Berbenang Emas ini ditulis oleh Khairuddin Ayip. Beliau merupakan pemenang tempat pertama Novel Remaja DBP 1990 melalui novel ini dan juga pemenang tempat pertama Novel Kanak-Kanak DBP 1987 dengan novel Sayang Disayangi. Beliau turut menulis cerpen dan sajak.

Kisah dari novel Songket Berbenang Emas yang digunakan oleh pelajar Tingkatan 5 untuk Komsas Bahasa Melayu ini mengajar pembaca tentang kecekalan seorang remaja berusia 19 tahun menempuh cabaran hidup apabila mempunyai keluarga yang tidak sempurna.

Sinopsis Novel Songket Berbenang Emas dari blog ipendidikan:

Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang murid yang bijak dan disenangi oleh teman-temannya. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga sehingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya.

Dahlia yang merupakan anak sulung terpaksa memberikan perhatian kepada adik-adiknya setelah pelbagai masalah melanda keluarganya. Ibunya dirawat di Hospital Permai kerana mengalami masalah mental. Ayahnya pula dipatuk ular sehingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

Adik lelakinya, Abu Bakar pula terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga tidak mahu belajar. Situasi ini telah menyebabkan Dahlia terpaksa keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya. Tekanan hidup Dahlia semakin bertambah apabila hubungannya dengan Azhari dipandang serong oleh jirannya.

Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said tidak dihargai, malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya. Walau bagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan.

5. Sukar Membawa Tuah

Para pelajar Tingkatan Satu didedahkan dengan novel Sukar Membawa Tuah sebagai sebahagian dari Komsas Bahasa Melayu. Ia menyentuh tentang kegigihan anak orang Asli yang mahu mengubah nasib hidup melalui ilmu dan pendidikan.

Adit ialah orang Asli suku Jahut yang tinggal di Kampung Bakai di kaki bukit Bukit Lokan. Masyarakat di situ masih memegang kuat pada kepercayaan tradisi. Maka, novel ini akan membawa pembaca ke dalam kehidupan orang Asli, khususnya Adit yang mahu bersekolah agar boleh bekerja di luar tradisi sukunya.

Sinopsis dipetik dari blog Novel Komsas Jawapan:

Novel Sukar Membawa Tuah karya Suziana Che Will mengisahkan kesukaran hidup Adit yang merupakan seorang remaja daripada kaum Orang Asli tinggal di kawasan pedalaman.

Kehidupan mereka hanya bergantung pada hasil-hasil hutan, kampung mereka kekurangan kemudahan infastruktur, tambahan pula Masyarakat di situ tidak mementingkan pendidikan dan masih berpegang teguh pada kepercayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.Dalam diam-diam Adit menaruh impian untuk bersekolah.

Pada mulanya hasratnya itu dibantah oleh ayahnya Pak Katan yang masih mementingkan tradisi kehidupan mereka. Akhirnya Aidit bersekolah juga, namun begitu dia tidak mendapat kemudahan untuk tinggal di asrama. Hal ini menyebabkan dia terpaksa berulang alik dari rumah ke sekolah setiap hari dengan menumpang kenderaan Ah Tong, pekerja balak. Walaupun terpaksa berulang-alik, Adit tidak pernah ponteng sekolah. 

Pada suatu hari Adit ditimpa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kakinya menjadi tempang. Walaupun cacat, keadaan itu tidak melemahkan semangat Adit untuk meneruskan persekolahannya. Akhirnya Adit ini telah mendapat tempat di asrama.  Dia berkongsi katil dengan sahabatnya Akeh.

Adit menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran sehingga mendapat tempat pertama dalam kelasnya. Kejayaan Adit menyebabkan semakin ramai anak Orang Asli yang bersekolah. Adit melangkah ke sekolah menengah dengan keputusan 3A dalam UPSR.

Dia ditawarkan untuk bersekolah di sekolah berasrama penuh, namun begitu Adit menolak tawaran tersebut kerana menyedari kemiskinan keluarganya. Adit  berpendapat walaupun dia belajar di sekolah biasa, dia tetap boleh berjaya asalkan dia rajin berusaha.

Kesimpulan

Berdasarkan 4 buah novel dan 1 cerpen Komsas Bahasa Melayu ini, nampaknya warga maya mahukan industri perfileman dan drama di negara ini menghasilkan karya-karya yang memberikan inspirasi kepada orang muda untuk berjaya dan juga mengetengahkan isu semasa masyarakat yang masih dibelenggu kemiskinan tapi tidak malas dan berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kehidupan serba kekurangan.

Apa pendapat anda? Kongsikan di media sosial anda tentang artikel ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *