October 25, 2020

Audiobook: Cabaran kepada Penerbitan Ilmiah di Malaysia


Audiobook (buku audio) adalah segmen penerbitan digital baharu yang semakin meningkat popularitinya. Menerusi audiobook, ilmu dan kandungan sesebuah buku dapat didengari dan dinikmati dalam pelbagai situasi seperti ketika sedang berehat, beriadah dan memandu kenderaan. Bukan itu sahaja, audiobook juga secara langsung dapat membantu golongan berkelainan upaya (seperti masalah penglihatan) untuk menerokai ilmu pengetahuan dengan lebih meluas dan mendalam.

Di Amerika Syarikat, audiobook sedang berkembang dengan pesat dengan pasaran dijangka akan mencecah USD1.5 bilion (RM6 bilion) pada hujung 2020, dan berada dalam unjuran perkembangan tahunan pada kira-kira 16%–25% untuk beberapa tahun akan datang. Data-data daripada negara barat juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan, lantas menonjolkan potensi audiobook untuk terus mentransformasikan industri penerbitan. Malahan ada buku yang diterbitkan sepenuhnya dalam bentuk audio tanpa versi bercetak.

Sumber Gambar: Link

Di Malaysia, audiobook telah mula bertapak beberapa tahun yang lalu dan sedang melalui fasa awal perkembangan. Walaupun pasaran di Malaysia dan rantau Asia Tenggara jauh lebih kecil, namun dengan kempen kesedaran yang terus menerus, audiobook berpotensi untuk berkembang subur seperti e-book.

Penerbit-penerbit ilmiah di Malaysia juga telah mula berjinak-jinak dengan penghasilan dan pengedaran audiobook, dalam usaha untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar universiti, penyelidik dan ahli akademik, serta merancakkan dunia ilmiah. Ini adalah penting kerana penerbitan ilmiah di Malaysia seharusnya bergerak seiring dengan perkembangan industri penerbitan dunia dan berupaya menjadi contoh kepada badan penerbitan yang lain.

Namun begitu, perlu diingat banyak cabaran yang perlu dilalui oleh sesebuah penerbit ilmiah dalam usaha merealisasikan inisiatif audiobook ini. Perkara ini adalah lumrah kebiasaan bagi sesuatu perkara yang baru diterokai atau dilaksanakan. Berikut adalah antara cabaran yang perlu diberi perhatian.

Kandungan

Kandungan buku karya ilmiah mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza berbanding dengan novel, buku kanak-kanak, agama serta buku-buku lain yang bersifat komersial. Oleh itu, penting untuk mengetengahkan kandungan yang sesuai dengan pendengar. Buku bidang sejarah, biografi dan panduan am akademik adalah antara kandungan yang sesuai dijadikan audiobook. Penerbit perlu merancang judul yang lebih sesuai dikeketengahkan, selain merangka strategi pengolahan kandungan untuk menjadikan penceritaan lebih serasi dengan pendengaran. Juga harus diingat, kandungan audiobook perlu relevan dengan identiti atau imej penerbitan ilmiah.

Bakat

Sebuah audiobook yang baik memerlukan bakat pencerita atau narrator yang berkemampuan untuk membawakan penceritaan daripada format teks kepada audio. Antara langkah yang diambil penerbit adalah menggunakan selebriti terkenal seperti penyanyi, pelakon dan pembaca berita. Langkah ini popular di negara-negara barat. Namun, menggunakan selebriti bermaksud penerbit perlu bersedia dengan pelaburan yang besar. Alternatif yang ada adalah dengan menggunakan khidmat penulis asal sebagai narrator, namun perlu diketahui bahawa seorang penulis yang baik tidak semestinya boleh menjadi narrator yang baik. Selain itu, penerbit boleh mempertimbangkan bakat dalaman organisasi dan institusi. Staf penerbit yang bersesuaian juga boleh dihantar untuk mengikuti latihan berkaitan teknik narration dan ini merupakan satu pelaburan perkembangan bakat yang sangat bermanfaat.

Peralatan dan Perisian

Selain narrator yang berkemampuan, produksi audiobook juga memerlukan peralatan dan kemahiran teknikal yang tinggi. Tanpa peralatan dan kemahiran in-house, antara pilihan yang ada adalah dengan menggunakan kepakaran outsourcing yang mampu menghasilkan audiobook yang menepati piawaian penghasilan dan pengedaran. Tidak dapat dinafikan, ada peralatan yang terlalu mahal bagi sesebuah penerbit yang baru berjinak-jinak dengan audiobook. Kerjasama dengan syarikat penerbitan muzik, media dan hiburan juga merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengunakan pengalaman luas mereka dalam rakaman audio.

Kos

Kos penghasilan audiobook adalah agak tinggi, terutamanya apabila mengambil kira aspek peralatan, kemahiran teknikal dan bakat. Oleh yang demikian, sokongan terutamanya dalam bentuk kewangan seharusnya diberikan oleh pengurusan tertinggi badan induk bagi sesebuah penerbitan ilmiah. Seperti e-book, kos penghasilan audiobook hanya dibuat sekali sahaja bagi setiap tajuk dan tidak memerlukan penyimpanan stok dan kos ulang cetak seperti buku bercetak. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan operasi penerbit dalam jangka masa panjang.

Pengedaran

Produk audiobook tidak lengkap tanpa ekosistem pemasaran. Proses mengedar audiobook berbahasa Inggeris dalam platform global seperti Audible (Amazon) sukar kerana mereka mahukan kualiti pembacaan dalam bahasa Inggeris native, dan banyak penerbit ilmiah di Malaysia tidak berkeupayaan untuk membayar bakat antarabangsa. Manakala platform yang mengedar audiobook berbahasa Melayu pada masa ini sangat terhad. Telah ada beberapa syarikat tempatan yang muncul untuk menawarkan platform penjualan dan pengedaran audiobook berbahasa Melayu, dan ini satu perkembangan yang menarik.   

Sasaran Pembeli

Bagi meningkatkan lagi penglibatan penerbitan ilmiah dengan audiobook, permintaan terhadap audiobook seharusnya wujud dalam pasaran di Malaysia. Bagi menggalakkan permintaan ini, maka kempen kesedaran tentang kewujudan audiobook di Malaysia harus dibuat dengan rancak dan secara berterusan. Kerajaan melalui pelbagai badan dan agensi perbukuan seharusnya berterusan melaksanakan kempen audiobook di samping menyediakan dana khas bagi industri yang terlibat dengan audiobook. Ini adalah penting bagi mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat berkenaan kewujudan audiobook di Malaysia ini. Di samping itu, institut pengajian tinggi, tidak kiralah awam mahupun swasta boleh mengadakan persidangan, seminar atau bengkel yang berkaitan dengan audiobook bagi membincangkan tentang perkembangan terkini, masalah dan cabaran audiobook di Malaysia. Dapatan daripada aktiviti-aktiviti ini boleh dibentangkan kepada pihak kerajaan bagi mengetengahkan isu-isu berkaitan audiobook.

Sumber Gambar: Link

Cabaran dan kesulitan dalam merealisasikan audiobook seharusnya tidak menjadi batu halangan penerbit ilmiah untuk tidak terlibat dengan penerbitan audiobook. Kebiasaannya penerbit ilmiah bernaung di bawah institut pengajian yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Seharusnya tenaga kepakaran dalaman ini digembleng bagi menjayakan projek audiobook. Perkembangan positif audiobook di peringkat global seharusnya direbut oleh penerbit ilmiah bagi menerokai peluang pasaran baharu, sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Diharapkan penerbit-penerbit ilmiah di Malaysia akan terus kekal berinisiatif mentransformasikan kandungan yang diterbitkan untuk terus memangkin pengembangan ilmu ke serata sejagat.


Penulis, Zulkifli Musa dan Mohd Zaidi Abdullah, adalah Pegawai Penerbitan di Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM). Kandungan penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *