October 25, 2020

Hanya Ada Satu Patah Perkataan Diulang-Ulang, Cerita Buku Kanak-Kanak Ini Tetap Menarik

Pernahkah anda membaca buku yang didalamnya hanya ada satu patah perkataan sahaja dan ia diulang-ulang di helaian mukasurat berbeza?

Pernahkah anda membaca buku sebegitu dan ia tetap popular di kalangan kanak-kanak dan guru tadika walaupun sudah 20 tahun diterbitkan?

Jika ya, mungkin anda tahu apa tajuk buku yang saya maksudkan di sini. Jika tidak, ini peluang anda untuk mengenali buku ini.

Pertama kali melihatnya, ia berlatarbelakangkan hutan dan haiwan-haiwan liar. Hanya ada satu patah perkataan sahaja yang kerap diulang. Yang berbeza di setiap helaian ialah saiz patah perkataan itu: pendek, tinggi, panjang, lebar.

Ia mengisahkan seekor anak monyet bernama Bobo. Ia akan menuturkan satu perkataan ini setiap kali melihat kawan-kawannya dari yang paling kecil, si chameleon hingga yang paling tinggi, si zirafah bersama ibu masing-masing.

Bobo yang kesunyian masih tercari-cari. Masih menyebut perkataan tersebut. Itu semua menyebabkan penduduk hutan risau akan Bobo. Apakah si gajah akan dapat memenuhi kehendak Bobo?

Anda perlu baca buku ini untuk mengetahui kesudahannya.

(Gambar) Muka kulit depan dan belakang buku

Buku bergambar ini bertajuk ‘Hug’ telah ditulis dan dilukis ilustrasinya oleh Jez Alborough. Ia diterbitkan pada 11 Ogos 2009.

Ada 3 patah perkataan sahaja digunakan di dalam buku kanak-kanak ini tetapi ada satu patah perkataan diulang banyak kali oleh Bobo, si anak monyet.

Ini sekadar pendapat:

Walaupun kisahnya ringkas, ia mengajar kanak-kanak akan erti kasih sayang antara anak dan ibubapa. Ia menunjukkan walaupun pelukan itu boleh diberi oleh seorang ibu yang lain, ia tak akan sama seperti pelukan ibu kandung kerana ia begitu berharga.

Seorang kanak-kanak tanpa pelukan dan kasih sayang ibu akan berasa kesunyian. Ia mengajar kanak-kanak untuk memberitahu apa yang mereka rasa agar ia tidak dipendam dan menanggungnya seorang diri. Penting mengajar kanak-kanak berkongsi perasaan.

(Gambar) Hug oleh Jez Alborough (Sumber: Amazon)

Saiz patah perkataan itu juga menunjukkan walaupun ia hanya satu patah perkataan, ia boleh memberi makna yang berbeza jika diberi intonasi yang berbeza. Ini hanya boleh dilihat apabila anda membaca buku ini bersama kanak-kanak. Anda akan rasa perbezaannya setiap kali anda sebut ikut saiz perkataan tersebut.

Buku kanak-kanak akan jadi lebih menarik apabila anda, orang dewasa mencipta pengalaman membaca kanak-kanak apabila membaca bahan bacaan bersama mereka. Kanak-kanak akan jadi lebih faham dan rasa membaca itu lebih menyeronokkan. Malah sesi membaca lebih menarik apabila anda tanya pendapat mereka selepas itu.

Luangkan masa bersama mereka kerana detik ini tidak mungkin berulang lagi apabila kanak-kanak makin membesar dan meningkat usia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *