October 25, 2020

Keris Long Leh – Doa Senjata Orang Mukmin

Judul buku :
Keris Long Leh – Doa Senjata Orang Mukmin

Penulis:
Syauqie MK

Terbitan:
Buku Puris

“Kebergantungan makhluk harus kepada Allah sahaja. Noktah!”

Petikan kata-kata yang diungkapkan oleh watak utama yang dinamakan sebagai Amin untuk menyudahkan dilema dan gangguan yang dilaluinya setelah meminjam keris pusaka daripada pak longnya. Penulis, saudara Syauqie MK memulakan novel ini dengan prolog berkisar tentang pertarungan antara dua pahlawan yang digambarkan berlaku pada zaman dahulu. Pertarungan tersebut melibatkan perebutan sebilah keris yang dikatakan ditempa daripada sembilan logam pusaka moyang. Pembaca akan tertarik dengan membuat sangkaan awal bahawa keris tersebutlah yang dikatakan sebagai keris Long Leh dan jangkaan tersebut tidak meleset dipertengahan cerita. Siapakah Long Leh? Adakah ia nama pemilik asal keris, atau Long Leh adalah sekadar nama bagi keris pusaka itu? Persoalan ini akan terjawab pada bab 19 yang mana Amin sendiri menemukan nama keris tersebut sebagai keris Malela yang berasal dari Pattani dan diakui kebenarannya oleh pak longnya. Pak long menerima keris tersebut selepas kematian Long Leh kerana tiada siapa sanggup menjaga keris tersebut. Sewaktu pulang ke kampung, bapa Amin menceritakan asal usul Long Leh yang sebenarnya hanya sebagai penjaga keris warisan tersebut daripada nenek moyang, yang mana Long Leh mempunyai susur galur persaudaraan dengan keluarga mereka.

Membaca naskah terbitan Buku Puris kali ini, memberikan banyak ilmu pengetahuan tentang senjata orang Melayu dahulu kala, kepercayaan orang dahulu kala terhadap keris dan perkaitannya dengan alam mistik. Tetapi saudara Syauqie bijak menyeimbangkan elemen-elemen seram dan mistik ini dengan unsur keagamaan menjadikan plot cerita tidak menyimpang daripada ajaran Islam. Beliau juga memetik ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dan berdasarkan rujukan daripada para ustaz yang mahir dalam hal alam satu lagi yang ghaibiyat ini. Rujukan ini tidak ketinggalan untuk dinyatakan di akhir novel oleh penulis. Justeru, novel ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pembaca yang mempunyai minat yang mendalam tentang ilmu persilatan Melayu yang sangat sinonim dengan senjata keris.

Konflik dimulakan apabila Amin telah melanggar pesanan pak longnya yang melarang dia membuka kain kuning balutan keris tersebut dan dia gagal membawa pulang keris tersebut sebelum tengah malam hari Jumaat. Semenjak dari itu, banyak kejadian seram dan misteri berlaku kepadanya dan keluarga. Antara kejadian yang dialaminya adalah muncul lembaga berbulu yang menurut pak long dinama kan sebagai Awang Langkah Panjang yang mahu merampas keris itu darinya. Setelah Amin bertarung dan akhirnya berjaya membunuh makhluk itu menggunakan keris pusaka tersebut di rumah pak long nya, dia berhadapan pula dengan makhluk yang menyerupai dirinya apabila dia pulang ke rumah. Amin bertarung sekali lagi dengan makhluk yang dinamakan Cher Minai menurut pak long. Cher Minai dan Awang Langkah Panjang adalah iblis peliharaan Man Keling yang menurut cerita orang kampung mempunyai perasaan iri hati terhadap Long Leh. Selain itu, kucing peliharaan anak bongsu Amin, mati secara tiba-tiba, anak sulungnya diangkat semasa tidur dan dijumpai di dalam tandas, masakan yang baru dimasak oleh isterinya basi dan keris Malela tersebut seringkali berubah tempat dan kadang kala hilang, muncul semula apabila Amin perlu beradu tenaga dengan mahkluk jelmaan iblis itu. Gangguan demi gangguan, tetap tidak menggugah kepercayaan Amin terhadap Tuhan Yang Maha Esa. Malahan, dia kerap melakukan solat hajat untuk memohon petunjuk atas semua kejadian yang menimpa. Tambahan pula pesanan Long Leh dalam mimpinya sentiasa dipegang kemas :

“Jaga keris itu. Jaga seperti nyawamu. Ia aka menjagamu dengan izin Allah. Jaga keris itu. Jaga!”  (muka surat 41)

Penggunaan latar tempat di sebuah perkampungan utara Semenanjung Malaysia serta dua latar masa iaitu zaman dahulu sekitar tahun 60-an dan zaman sekarang yang digambarkan melalui sebahagian plot cerita menggunakan teknologi komunikasi seperti aplikasi Whatapps dan Telegram adalah sangat dekat dengan orang Melayu menjadikan penceritaan novel ini lebih mudah difahami dan dihayati. Selain itu, penulis menggunakan loghat Utara yang mempunyai persamaan dengan loghat penduduk selatan Thailand secara tidak langsung memberi pengetahuan kepada pembaca bahawa budaya dari Pattani memberi pengaruh besar dalam sejarah Melayu terutama daripada aspek persenjataan. Hal ini dapat dilihat apabila bapa Amin menceritakan sejarah perkampungan dan susur galur keluarga mereka.

“Kampung kita ni dulu-dulu dibuka oleh empat orang Pattani yang bangsat mai sini…” (muka surat 168)

Amin, dalam cerita ini digambarkan telah mempamerkan gerak pencak silat dan bertarung di gelanggang silat di Pattani bagi mengikuti satu upacara untuk menentukan waris sebenar keris Malela tersebut.

Sepanjang membaca novel ini, pembaca akan sentiasa berteka-teki dengan diri sendiri adakah semua kejadian yang menimpa Amin disebabkan keris pusaka tersebut atau ada unsur lain dan siapakah sebenarnya pewaris yang sepatutnya memiliki keris itu. Persoalan tentang siapakah di sebalik The Keris Collector yang bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan keris tersebut dengan apa cara sekalipun menjadi perkara yang sering bermain difikiran sewaktu menelusuri karya ini. Penceritaan yang laju, menjadikan pembaca tidak bosan dan tertarik untuk terus membaca tanpa henti. Saudara Syauqie juga memperincikan setiap plot dengan jelas terutama setiap langkah pertarungan dan setiap kejadian mistik yang mampu menggugah adrenalin menjadikan pembaca dapat menggambarkan dengan jelas apa yang berlaku seolah-olah menonton filem aksi dan seram serentak.  

Keris pusaka, diam bersarung

Leluhur menunggu, jasad terkaku

Waris tiada mampu mengusung

Lok Lima tersarung dahulu

Seperti kebanyakan novel bergenre thriller yang lain, plot-twist pada akhir cerita menjadi antara satu keistimewaan naskah ini. Seusai membaca karya ini, pembaca akan tertunggu-tunggu sekuel seterusnya untuk menyambung cerita pewaris keris tersebut. Pada peleraian cerita, digambarkan seolah-olah Amin ialah pewaris keris Malela tersebut, tetapi kejadian yang dialami oleh Amin sewaktu pertarungan terakhir dan mimpi anaknya yang sulung, membuatkan Amin faham dia hanyalah penjaga keris pusaka tersebut sehingga waris sebenar cukup dewasa untuk memegang amanah, iaitu anak sulungnya!   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *