October 20, 2020

Tajuk buku:
Naratif Ogonshoto

Penulis:
Anwar Ridhwan

Penerbit:
Dewan Bahasa Dan Pustaka

Sebelum ini, saya sudah mengkhatamkan pelbagai novel dari sasterawan Malaysia – sama ada dari Sasterawan Negara, atau dari sasterawan-sasterawan yang telah dinilai dari segi mutu dan keunggulan karya mereka. Dan kini pertama kali saya baru ingin ‘menyentuh’ Anwar Ridhwan, bermula dengan Naratif Ogonshoto.

            Naratif Ogonshoto memenangi 3 buah sayembara – Hadiah Sastera Perdana (2001), S.E.A. Write Award (2002), dan Hadiah Sastera MASTERA (2002). Selain novel ini dialih bahasa sekurang-kurangnya kepada bahasa Inggeris dan Rusia, novel ini turut menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar sekolah menengah di kawasan pantai timur Malaysia.

            Seperti yang saya pada perenggan pertama, saya sudah membaca banyak novel sastera Melayu yang lain, tetapi Naratif Ogonshoto ini saya berikan julukan kepadanya sebagai ‘kitab suci novel sastera Melayu’. Tiada sebuah novel yang lain (yang sekadar saya sudah baca) dapat menandingi novel ini.

            Langgam bahasa yang dibawa oleh Anwar Ridhwan sangat terjaga rapi. Mungkin agak keterlaluan jika saya mengibaratkan bahasa di dalam novel ini dengan sebuah kitab suci yang amat terjaga lenggok bahasanya. Tetapi, mahu atau tidak mahu, saya rasa bagi peminat sastera tanah air di luar sana, tidak boleh menafikan perkara ini. Pemilihan diksi-diski yang amat cermat membuatkan pembaca berasa membaca teks sastera yang begitu mengujakan dari segi penggunaan bahasa. Sekadar memberi contoh – apabila kita membaca Faisal Tehrani, kita dapat rasakan bahawa penggunaan bahasa yang ‘sedap’ memberi impak kepada pembaca untuk meneruskan pembacaannya. Tetapi Anwar Ridhwan menulis Naratif Ogonshoto ini bukan sekadar ‘sedap’, bahkan diksinya ‘tepat’. Tidak dapat dinafikan betapa cermatnya Anwar memilih perkataan yang memberi impak besar dalam pemikiran pembaca sehinggakan novel ini telah diiktiraf dan diuji mutunya oleh tokoh-tokoh sasterawan yang lain.

            Novel ini mempunyai prolog, 10 bab utama, dan diakhiri dengan epilog. Apabila membaca mana-mana novel – kita akan beranggapan bahawa bermula dengan prolog, dan diakhiri dengan epilog yang di dalamnya mengandungi satu cerita yang berterusan dan tema yang sama.

            Tetapi tidak bagi Naratif Ogonshoto ini. Selain langgam bahasanya yang menarik, novel ini mempunyai keistimewaannya tersendiri, novel ini boleh dibaca secara terpisah mengikut bab yang menjadikan berbentuk cerpen, dan boleh juga dibaca dengan gaya novel. Dari satu bab ke satu bab yang lain, tiada jalan penghubung dari segi naratif penceritaan. Tetapi Anwar menulis prolog dan epilog dengan kemas – dapat membuat kesimpulan terhadap novel (atau kumpulan cerpen?) ini.

Jika saya ingin menulis sinopsis novel ini, ia akan memakan berkajang-kajang kertas – kerana ia tidak mempunyai ‘satu’ cerita. Setiap bab di dalam novel ini adalah diceritakan melalui satu penglipur lara yang berbeza-beza. Tetapi tidak dinyatakan siapa yang menceritakannya. Permulaan bab ditulis secara bersahaja tanpa perlu menerangkan lokasi atau apa yang terjadi sebelumnya kerana semua itu dikumpulkan di dalam Prolog. Pembaca boleh membaca bab satu hingga sepuluh secara terpisah dengan syarat dimulakan dengan prolog dan diakhiri dengan epilog.

Walaupun demikian, pembaca akan meragui status teks ini, sama ada ia sebuah novel, ataupun kumpulan cerpen? Itulah tiang seri bagi kekuatan Naratif Ogonshoto ini.

Penulis adalah pencerita fiksyen yang hebat. Anwar Ridhwan berjaya ‘menipu’ pembaca dengan membuat satu latar yang tidak sama sekali wujud – Ogonshoto. Sebelum memulakan Prolog, disediakan satu peta Republic of Ogonshoto yang mana kedudukan geografinya di lautan Pasifik. Saya sendiri merujuk peta di internet untuk mengesahkan tempat ini, kerana seperti mana yang kita tahu, Anwar Ridhwan pernah berkhidmat di Tokyo selama kurang lebih tiga tahun. Dengan itu, tidak janggal jika Anwar dapat menterjemahkan nuansa Jepun itu ke dalam fiksyen Ogonshoto ini dengan kemas. Ya, Ogonshoto adalah fiksyen. Kali terakhir saya ‘ditipu’ sebegini dengan novel 1515, karya agung dari Faisal Tehrani.

Keunikan lain novel yang bergenre realisme magis ini adalah setiap bab tidak dinyatakan di dalamnya nama bagi watak tersebut. penulis hanya menggunakan kata nama seperti presiden, guru kidal, dan pemburu muda, dan sebagainya. Walaupun agak janggal, tetapi teknik ini amat menarik. Selain itu, penulis dapat menukar kata nama tersebut kepada perkataan lain tanpa memberi ‘amaran’ kepada pembaca. Bukan sahaja kata nama, bahkan kadang kala penulis menukar perspektif pembaca dari menggunakan kata ganti diri pertama kepada kata ganti diri kedua tanpa apa-apa isyarat kepada pembaca. Untuk menutup resensi ini, saya akan menyarankan para peminat sastera menekuni dan ‘mengunyah’ novel ini dengan sebaiknya. Anwar Ridhwan telah memberi satu tahap lain dari segi sastera dan genre surealisme magis ini. Novel ini bukanlah sebuah novel yang berat dan panjang isinya, 196 muka surat sarat dengan coretan bahasa yang indah dan akan membuatkan pembaca terpesona.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *