March 5, 2021

Penulis Buku ‘Aku Tinggalkan Emak Di Bumi Anbiya’ Terima Anugerah Dana Penulis 2020

‘Aku Tinggalkan Emak Di Bumi Anbiya’ merupakan sebuah buku hebat yang telah menerima Anugerah Dana Penulis 2020 dari Perpustakaan Negara Malaysia. Berikutan itu, buku ini akan dibekalkan kepada semua 507 Perpustakaan Desa seluruh negara.

Buku ini membawakan kisah 4 orang penting dalam kehidupan penulis, Puan Mimi Zainudin yang memberi impak positif ke atas dirinya.

“Kehilangan kasih sayang, keberkatan, kemuliaan dan doa seorang ibu yang tak mungkin dapat saya rasai lagi sehingga ke akhir hayat,” kata Puan Mimi Zainudin sewaktu ditanya tentang mesej yang mahu disampaikan dalam buku ini.

Ia menceritakan tentang perhubungan antara anak-ibu bapa, menantu-mertua, besan-besan, dan keluarga yang menzahirkan kasih sayang sejati, melakukan pengorbanan, menunjukkan sifat-sifat yang baik dan mulia serta mengandungi nasihat dan kata-kata perangsang.

Punca Menulis Buku Kisah Hidup Ini

“Abang Long saya yang tidak pernah menanya saya bagaimana Emak pergi tiba-tiba bertanya saya, “Buku dah siap?” Baru saya sedar rupa-rupanya dia tak sabar nak tahu cerita tentang pemergian Emak,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Puan Mimi Zainudin menulis buku ini kerana momen-momen terakhir antara penulis dengan ibu beliau di tanah anbiya’ Riyadh tidak diketahui sesiapa.

“Almarhumah emak meninggal dunia jauh di perantauan ( tanah anbiya’ Riyadh) dan hanya saya seorang sahaja yang ada bersamanya ketika itu. Oleh itu, semua adik-beradik, kaum keluarga dan sahabat handai almarhumah ingin tahu cerita sebenar bagaimana dia pergi secara husnul khatimah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” sambung Puan Mimi Zainudin.

Tambah beliau, memang ada cita-cita untuk mengabadikan satu legasi dalam bentuk buku tentang suka duka kisah hidup beliau bersama ibu bapa buat tatapan dan ingatan anak-anak dan zuriat anak keturunannya agar mereka tahu darah siapa yang mengalir di dalam tubuh badan mereka.

Perkongsian Istimewa Buat Pembaca Mukasurat.my

Bekas penjawat awam di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Ibu Pejabat) di Kuala Lumpur selama 30 tahun ini sudi kongsikan dengan pembaca sedikit sisipan yang tiada dalam blurb/sinopsis buku ‘Aku Tinggalkan Emak Di Bumi Anbiya.’.

“Semua manusia di dalam dunia ini sudah pastinya adalah seorang anak kepada seorang insan bernama IBU. Buku ini menceritakan tentang kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu didalam mendidik dan membesarkan anaknya dengan harapan supaya dapat menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat,” kata Puan Mimi Zainudin, berkongsi hasratnya dengan pembaca.

Antara yang menarik tentang buku ini adalah:

  1. Penulis mendedahkan tentang ksih sayang sejati dan pengorbanan seorang ibu dalam mendidik dan mendewasakan 4 orang anaknya setelah kehilangan suami buat selamanya.
  2. Penulis turut berkongsi tentang seorang bapa yang mencurahkan kasih sayang dengan lemah lembut serta memberi nasihat dan kata-kata perangsang kepada anak-anaknya.
  3. Satu anugerah apabila ibu mentua yang sangat sayang kepada anaknya tanpa mengenepikan keutamaan terhadap anak menantunya.
  4. Ini juga satu rezeki dari-Nya apabila ibu mentua boleh membina persahabatan dan ukhwah yang baik dengan ibu menantu.
  5. Tak dilupakan juga, kisah tentang ayah mentua yang telah memberikan perhatian dan kasih sayang kepada menantu serta banyak menunjukkan sifat-sifat baik dan mulia.

Penulis berharap para pembaca yang masih ada ibu, sempat menghargai erti kasih sayang dan pengorbanannya sebelum anda kehilangan orang kesayangan ini buat selama-lamanya.

Buat anda yang mahu memiliki buku ini, anda boleh ke Lazada Baca Mall dengan hanya klik pautan ini: ‘Aku Tinggalkan Emak Di Bumi Anbiya’

Petikan Pilihan Penulis

Sewaktu mataku mencari-cari tempat yang sesuai untuk solat dengan selesa di hadapan Kaabah, pandangaku tiba-tiba teralih ke arah seorang wanita yang sedang duduk beberapa saf di belakangku.

Dia sedang tersenyum sambil memandang ke hadapan, ke arah Baitullah. Nafasku terhenti seketika!! Jantungku pula berdebar-debar dengan derasnya.

Aku lihat raut wajah wanita tersebut saling tidak tumpah seperti wajah Almarhumah emak ketika aku menutup jenazahnya dengan tudung bawal putihku tempoh hari.

“Tess, tengok belakang Tess!” Aku mencuit Tess.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *