June 7, 2020

Yang Terunggul The One

Tajuk Buku:
Yang Terunggul The One

Penulis:
Melur Jelita

Terbitan:
Karya Seni

Buku ini adalah sebuah novel berilmiah karya Melur Jelita, seorang penulis terkenal. Novel ini mengisahkan perjalanan kehidupan keluarga VAT 69, pasukan komando Malaysia. Perjalanan kehidupan seorang anak perempuan seorang bekas komando dan sebagai isteri seorang komando VAT 69. Persekitaran dan pengalaman bermain dengan emosi yang sering ditinggalkan oleh orang tersayang iaitu aya dan suami demi mempertahankan negara menguji hati seorang perempuan.

Novel ini sangat menarik, penulis menyusun plot cerita berdasarkan peristiwa, menghasilkan suasana ceria, sedih, teruja dan pelbagai perasaan seingga membuatkan pembaca dapat merasai seperti sebahagian daripada watak. Melalui watak-watak, digambarkan suasana sebenar tugas-tugas, jiwa dan semangat anggota Vat 69. Jiwa Vat 69 digambarkan secara jelas berdasarkan peristiwa sebenar bukan rekaan penulis. Jiwa sebenar ahli keluarga yang hidup bersama mereka dan semangat yang jitu. Kepelbagaian watak yang juga membawa pelbagai sifat dan karektar profesional dan antagonis.

Penulis menulis dengan teliti dan terperinci setiap pergerakan, perasaan di jiwa, perlakuan, perangai dan sikap manusia yang pelbagai. Penulisan beliau diperincikan dengan hasil kajian sesuatu perlakuan manusia, kajian sains, emosi dan pelbagai perkara yang dilalui oleh setiap watak dan perkara yang disampaikan. Hal ini sangat jelas dalam setiap bab dan ucapan serta penjelasan mengenai sesuatu perkara oleh individu pendokong watak. Contoh, watak Maryam seorang penternak lebah, gambaran watak yang sangat memahami sifat lebah, kajian berkaitan lebah dan pengetahuan serta ilmu berkaitan digarap oleh penulis dengan baik sehingga pembaca mampu mendapat ilmu tentang lebah. Ilmu berkaitan pengetahuan agama, umum dan masyarakat juga digarap dengan baik, sehingga pembaca mendapat ilmu dan nilai-nilai dengan cara yang ceria dan santai.

Peristiwa pertemburan VAT 69 serta latihan yang dijalankan digambarkan dalam bentuk penulisan yang sangat menarik sehingga pembaca terasa turut serta dalam peristiwa tersebut. Gaya penulisan begini menunjukkan pengetahuan penulis yang mendalam dan kajian yang dilakukan sebelum penulisan dibuat walaupun buku ini dalam kategori novel. Membaca buku ini seakan membaca buku ilmiah yang santai dan berhibur dengan watak-watak dalam masyarakat.

Novel ini menggabungkan pelbagai elemen yang diadun menjadi sebuah kisah yang penuh bermakna. Semangat dan jiwa perjuangan diadun dengan budaya dan adat resam, sains, sosial, seni, sukan dan pelbagai yang menimbulkan kisah suka dan duka, emosi ceria, gembira, tegas, lemah, kecewa, marah, dendam dan bahagia.

Grafik muka depan buku menarik dan tepat dengan pengisian novel ini. Terdapat juga grafik berdasarkan VAT 69 dan imej berkaitan kisah dan penceritaan novel ini. Bahagian belakang buku disertakan segmen ilmu. Buku ini setebal 1211 muka surat.

Novel ini sangat direkomenkan untuk di baca oleh pelbagai status. Mengandungi pelbagai nasihat, ilmu, pengalaman dan kegembiraan. Membaca buku ini, pembaca di bawa ke dalam penceritaan sebuah kisah benar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *